Isnin, November 2

Amah dipenjara enam tahun racun majikan


KUANTAN: Seorang pembantu rumah dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah meracun majikannya, kira-kira setahun lalu.

Nurhayati Ahmad, 22, dari Lombok, Indonesia mengaku bersalah terhadap perbuatan dakwaan meracun Jaharah Daud, 77, di sebuah rumah beralamat di No 6 Lorong I/M 5/14, Bandar Indera Mahkota, di sini kira-kira jam 1.30 petang, 16 Julai tahun lalu.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman terhadap tertuduh dilaksanakan mulai dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 16 Julai 2008.


Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa dan anak perempuannya serta tertuduh masuk ke dapur untuk makan tengah hari sebelum mangsa kemudiannya meminum air kopi yang dihidangkan tertuduh berasa pahit dan mendapati minuman itu berbau selain bertukar warna menjadi kelabu.

Anak mangsa yang tidak sedap hati mengesyaki sesuatu kemudiannya memeriksa sup sayur dihidangkan pembantu rumah itu dan mendapati ia turut berbau sama.

Mereka yang mengesyaki makanan dan minuman berkenaan sudah dicampur racun kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan berhubung perkara itu pada hari sama.

Anggota polis yang bergegas ke rumah mangsa menemui sebotol racun berada di atas sinki dan sebotol lagi diletakkan di dalam almari dapur rumah berkenaan.

Mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, kira-kira jam 5.15 petang pada hari sama untuk membuat pemeriksaan ditahan bagi pengawasan kesihatan sehingga keesokan harinya dan laporan kimia yang diterima pada 10 September 2008 mengesahkan mangsa diracun.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan kerana memasukkan racun ke dalam makanan dengan niat atau dengan pengetahuannya boleh menyebabkan kematian kepada mangsa yang jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mengikut seksyen sama yang membawa hukuman sehingga 10 tahun penjara atau denda.

Terdahulu, peguam tertuduh, Mohd Fadly Hashim, merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan dan mohon dipenjarakan kerana tertuduh ketika itu baru sebulan bekerja di rumah mangsa selain tertuduh perlu menyara lapan adik beradik yang berada di Lombok kerana ibu bapanya sudah meninggal dunia.

"Tertuduh juga menyesal dan insaf dengan apa yang berlaku dan ingin pulang ke kampung halamannya untuk meneruskan kehidupan," kata Mohd Fadly.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat bagaimanapun meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kepada tertuduh kerana kesalahan dilakukannya adalah berat dan boleh membawa kematian. - Bernama

0 komentar:

Catat Ulasan

Share |

Buku Cerita Bawean